

DILIGENCE IS THE KEY TO
SUCCESS
HISTORY OF OUR SCHOOL
SJK(C) Nam Heng merupakan sebuah sekolah kecil yang berasal dari Estate Nam Heng di Kota Tinggi. Pada tahun 1950, peningkatan penduduk Cina dalam estate tersebut menyebabkan penduduk setempat mula bermuafakat dengan pihak estate untuk menubuhkan sekolah baru.
Setelah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa setempat, penubuhan sekolah baru telah dimulakan. Melalui kutipan derma penduduk estate, sekolah ini telah berjaya ditubuhkan. Bangunan klinik yang lama telah dijadikan bangunan sekolah Nam Heng. Pada permulaan, sekolah ini hanya mempunyai sepuluh orang murid sahaja. Segala kemudahan yang ada adalah dalam keadaan yang buruk.
Penubuhan SJK ( C ) NAM HENG di Estate Nam Heng , Kota Tinggi.
Malangnya, jumlah murid semakin menyusut mulai tahun 80-an. Keadaan ini disebabkan emigrasi penduduk ke bandar untuk mempertingkatkan taraf hidup mereka. Pada tahun 1984, jumlah murid berkurang menjadi 45 orang dan selepas 10 tahun kemudian, jumlah murid hanya tinggal 5 orang sahaja.
Pada tahun 1993, pihak sekolah telah membuat keputusan untuk berpindah ke lokasi yang lebih sesuai supaya sekolah ini tidak mengalami penutupan. Program ini dirancang oleh Guru Besar Nam Heng, Encik Pok Kim Chuan dan dipimpini oleh Pengerusi Lembaga Sekolah -Encik Liew You Feng.
Pada permulaan, pihak sekolah telah memohon sebidang tanah yang seluas 5 hektar di Taman Johor Jaya tetapi permohonan ini tidak diluluskan.
Malangnya, bilangan murid telah menjadi 3 orang di sekolah ini pada tahun 1997. Ketiga-tiga murid ini terdiri daripada satu keluarga dan ibu bapa mereka telah membuat keputusan untuk berpindah ke bandar. Maka sekolah Nam Heng telah mengalami keadaan tiada seorang murid pun yang menuntut di sekolah ini.
Guru besar, Encik Pok tidak berputus asa walaupun dalam keadaan sebegini. Sebaliknya beliau bersungguh-sungguh untuk mempertahankan sekolah ini supaya tidak ditutup. Lembaga sekolah telah berjaya mendapat kerjasama daripada ibu bapa 2 orang murid yang menghantar anak mereka ke sekolah ini walaupun mereka tinggal di bandar. Tujuan mereka berbuat demikian adalah untuk mempertahankan sekolah Nam Heng daripada mengalami penutupan.
Masalah yang dihadapi oleh sekolah ini telah mendapat perhatian daripada masyarakat tempatan melalui berita yang dihebahkan melalui surat khabar. Orang ramai telah menyalurkan bantuan mereka tidak kiranya dari segi kewangan, tenaga dan sebagainya. Hasrat mereka adalah untuk memastikan sekolah Nam Heng dapat terus melanjutkan usahanya untuk mendidik mereka yang ingin menimba pengetahuan.
Impian telah menjadi kenyataan pada tahun 1998. Pihak sekolah telah menerima berita baik daripada Jabatan Pendidikan bahawa permohonan untuk berpindah telah dibenarkan. Tambahan lagi, pihak sekolah telah berjaya memperuntukkan sebidang tanah di Bandar Seri Alam daripada Majlis Daerah Johor Bahru pada 5hb November 1998.
Dengan segeranya, pihak sekolah bermula untuk membuat perancangan membina sekolah baru di tapak tanah yang baru diperolehi tersebut. Dengan bantuan dan kerjasama daripada ahli-ahli Parti MCA, ahli-ahli politik dan masyarakat tempatan, sekolah baru telah siap dibina pada tahun 2001. Kementerian Pendidikan Malaysia pada masa itu telah mengesahkan perpindahan Sekolah Nam Heng pada tahun yang sama. Setelah mendapat kelulusan yang dinanti-nantikan selama 6 tahun, sekolah ini dapat berpindah ke Bandar Seri Alam.
Kawasan sekolah yang baru adalah seluas 6.1 ekar. Tapak sekolah dipunyai oleh LPS yang dipengerusi oleh En. Alan Law. Bangunan sekolah yang baru ini terdiri daripada satu blok yang bertingkat 3 yang mengandungi 10 buah bilik darjah, pejabat pentadbiran, makmal sains, makmal komputer, stor dan sebagainya. Kantin pula terletak di tepi blok bertingkat 3 tersebut.
Sekolah ini tetap diketuai oleh Encik Pok dan dibantu oleh 3 orang guru. Seramai 57 murid tahun 1 telah mendaftar untuk menjadi murid tahun 1 pada tahun 2001. Encik Pok telah dinaik pangkat pada Oktober 2002. Jawatan beliau diambil alih oleh Cik Tay Koi Lian. Tempat pengerusi juga diambilalih oleh En. Tai Soon Hong pada masa yang sama.
Bilangan murid yang menerima pendidikan di sekolah ini semakin bertambah dengan perkembangan yang pesat di Bandar Seri Alam. Pada tahun 2002, enrolmen murid adalah seramai 287 orang dan meningkat kepada 800 orang pada tahun 2003. Untuk menampung murid yang bertambah, pihak sekolah telah memohon untuk membina sebuah bangunan bertingkat 4 yang mengandungi 28 bilik darjah. Permohonan ini telah diluluskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Kos perbelanjaan yang diperlukan adalah sebanyak 800 ribu. Jumlah kos yang tinggi ini perlu diperuntukkan oleh pihak sekolah sebelum 2005. Untuk menangani masalah kewangan ini, semua kakitangan sekolah termasuklah LPS, PIBG, guru-guru dan murid-murid telah merancangkan pelbagai aktiviti untuk memungut derma daripada orang ramai.
Dua tahun kemudian, iaitu pada tahun 2005, bangunan bertingkat 4 ini berjaya dibina dan dilengkapi dengan kemudahan yang diperlukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pihak sekolah dengan bangganya menjemput Timbalan Menteri Pendidikan Yang Amat Berhormat Datuk Hon Choon Kim untuk merasmikan pembukaan bangunan baru sekolah yang kedua ini.
Dengan bilangan murid yang kian meningkat dari tahun ke tahun, sungguhpun dua buah bangunan sekolah yang digunakan kini mempunyai kelengkapan dan kemudahan yang mencukupi, SJK(C) Nam Heng Baru masih kekurangan sebuah dewan serbaguna.
Untuk mencapai matlamat ini, pihak Lembaga Pengurus Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru telah mengadakan Konsert Amal dan Jamuan Makan pada 9 November 2008 untuk mendapatkan dana pembinaan dewan serbaguna dan bangunan baru. Konsert Amal dan Jamuan Makan Amal tersebut telah mendapat sambutan dan sokongan dari semua pihak dan berjaya mengutip dermaan sebanyak dua juta.
Pada tahun 2010, pembinaan dewan serbaguna dan bangunan baru telah mula dijalankan dan dijangkakan siap pada tahun berikutnya. Dengan bangunan baru, dijangkakan SJK(C) Nam Heng Baru mampu menampung murid-murid sebanyak tiga ribu orang dan ini dapat memenuhi permintaan penduduk di sekitar Bandar Seri Alam yang pesat.
Pada tahun 2011, Pn. Tay Koi Lian telah bersara dan Pn. Heng Guay Looe telah dilantik sebagai Guru Besar Ketiga di sekolah ini mulai 16 Februari 2011. Selepas itu, Pn Heng Guay Looe digantikan oleh Pn Liew Choon Chok dan seterusnya Pn Wong Lai Jing yg merupakan guru besar sekarang.